Selasa, 29 Mei 2018

Lanjutan Lukisan (Pantun)



Bagaimana anda menginterpretasikan pantun dalam lukisan bagi penghasilan karya?

            Perkara pertama yang saya lakukan adalah memilih pantun yang mempunyai maksud menjurus kepada diri saya bukan sekadar sebagai pantun biasa. Sebenarnya pantun ini adalah dipilih sendiri oleh ibu saya yang katanya merupakan sifat diri saya. ceritakan dan terjemahkan menurut hati saya sendiri. Pantun itu ialah PUTIH UBAN TERLIHAT MATA, TANDA SUDAH TUA UMURNYA, RELA BERKORBAN KERANA CINTA, AGAR HIDUP KITA BAHAGIA. Ketika saya mendapat pantun ini, pertama kali saya lakukan adalah mencari makna tersirat, mencari kata kunci pada setiap baris malah perkataan tersebut.

            Setelah saya mengkaji setiap baris perkataan dan saya memahami tentang pantun tersebut yang memfokuskan bukan kepada cinta, kasih sayang tetapi bahagia dalam cinta bermaksud  bahagia yang datang dalam cinta sesudah mengharungi derita. Dalam baris pertama dalam pantun ini menyatakan tentang putih uban terlihat mata. Putih uban menggambarkan tentang usia, kitaran hidup, tempoh hidup atau perjalanan hidup seseorang yang dari usia muda sehingga lanjut usia. Saya menggambarkan imej 2 orang individu iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan yang jelas terlihat tua usianya. Saya memperjelaskan lagi dengan melukis imej dua individu ini dengan wajah yang berkerut, baju yang lusuh, renungan mata yang redup seperti redupnya usia. Saya menggunakan media kering seperti pencil kerana mengambil kira kehalusan dan kejelasan urat-urat pada 2 individu tersebut. Ini menjelaskan kepada baris rangkap kedua iaitu tanda sudah tua umurnya.

            Pada baris rangkap ketiga pula iaitu rela berkorban kerana cinta. Sebelum saya memasukkan elemen tertentu saya cuba memahami apa itu rela, rela adalah apabila kita memberi sesuatu tanpa meminta balasan walaupun sekadar ucapan terima kasih. Rela dalam skop karya saya ialah kerelaan hati seorang ibu kepada anak. Oleh itu saya memasukkan imej wanita dengan seorang bayi atau ibu dengan anaknya. saya menggambarkan ibu dalam karya adalah untuk menggambarkan tentang kasih sayang ibu yang ikhlas, tulus dan berani berkorban kerana cinta. Kesakitan yang dirasai ketika melahirkan cinta disambut dengan senyuman hati. Sakit tidak terlihat mata tetapi cinta tergambar dengan senyumannya. Itulah imej yang saya gambarkan pada karya. Kenapa saya memasukkan elemen pokok kerana kerelaan berkorban ini bukan dari tunas nya sahaja tetapi ia tumbuh melakar segenap penjuru tanpa ada batas.

            Baris terakhir pada pantun  ialah agar hidup kita bahagia. Ketika saya membaca rangkap ini saya bertanya pada diri apakah itu hidup? pengertian hidup??...apa itu kita?? siapakah kita??..bahagi itu apa?? bagaimana bahagia itu ada??.. persoalan ini bermain difikirkan saya. Sukar untuk saya terjemahkan dalam  karya sehingga saya melihat gambar keluarga dan di situ saya temui sesuatu menjawab semua persoalan yang bermain difikirkan. iaitu ikatan. Ikatan apa??ikatan cinta yang diikat bersaksi dua cinta dan di lafaz untuk bersama-sama sehingga akhir hayat itulah bahagia kita. Itulah gambaran pada bahagian atas karya saya. saya menggambarkan dua individu dan dua kanak-kanak yang saling berpegang tangan menuju ke arah pokok yang sudah besar dan berkembang. Semua gambaran ini adalah doa yang dikimpal bersama-sama cinta.


Apakah bahan/media dan teknik yang digunakan bagi menghasilkan karya?

Antara bahan yang digunakan adalah pencil, arang, soft pastel, water colour dan oil paint. Media yang digunakan adalah media basah atas kering dan kering atas kering. Teknik yang digunakan adalah realistik.

Adakah warna memainkan peranan penting dalam penghasilan karya? Seperti luahan emosi?
Warna bukan hanya sebagai luahan emosi tetapi gambaran diri si pelukis pada pandangan saya. Jika melihat pada karya ini warna yang saya gunakan adalah biru, oren, kuning dan hitam. Warna biru pada imej dua org figura adalah kerana ketika saya sedih, atau berduka saya akan melihat langit kerana di langit saya akan terbayangkan wajah mereka. warna hitam digunakan untuk menggambarkan tentang kesusahan, penderitaan, kesedihan yang tersirat. tetapi warna putih dicalit pada warna hitam menggambarkan bahawa sinar pasti ada walaupun hanya di dalam kegelapan itu. Ia menyatakan tentang diri si pelukis bahawa pahit hidup itu ada kebahagiaan. warna oren dan kuning menggambarkan hari ini harus dilupakan, haris esok harus diteruskan, dan saat itu tiba sambutlah dengan senyuman. Warna bagi pelukis adalah makna tersirat yang diletakkan dalam  karya yang bersesuaian dengan situasi atau keadaan tertentu yang dialami sendiri oleh pelukis. warna bukan coletan pada karya tetapi adalah coretan diri pelukis.

Isu Kajian 3



ISU 3 (SOSIAL EKONOMI STATUS)
ANTARA DUA DARJAT
1.0 PENDAHULUAN
            Antara dua darjat sering menjadi ukuran dalam masyarakat pada zaman dahulu di antara golongan bangsawan dengan golongan bawahan. Soal status keturunan, kebangsawanan, kenegaraan dan kerjaya adalah sesuatu perkara yang cukup mengental dalam semua corak masyarakat tidak kira bangsa sekalipun. Pada masa kini, status seseorang juga menjadi ukuran yang semakin menular dalam masyarakat. Demi untuk menjaga statusnya sesetengah masyarakat sanggup menjadi zalim kepada orang lain. Menggunakan apa yang ada untuk memelihara status tersebut.
            Melihat kepada kisah filem P.Ramlee. Menceritakan bagaimana filem ini merupakan filem yang paling hampir kepada realiti sosial hari ini kerana memecahkan otak saintis-saintis sosial kontemporari. Soal status quo keturunan, kebangsawanan, kenegerian, ke-elitan adalah suatu perkara yang cukup sebati dalam lapisan masyarakat sehinggakan isu konflik falsafah kedarjatan ciptaan manusia ditentang dan dikritik oleh P.Ramlee semakin memuncak. Sehingga hari ini setelah lebih setengah abad, "kritikan2" beliau terus "dinikmati" orang tanpa jemu. Ini kerana, ia adalah realiti sosial yang sebenarnya memang ingin dilihat oleh semua orang.
2.0 ISU KAJIAN
Antara dua darjat semakin menular dan berkembang dalam setiap lapisan masyarakat kini. Walaupun zaman dan era itu sudah berubah namun isu darjat dan hierarki sosial menjadi kayu ukir dalam sesuatu perhubungan terutama soal perkahwinan yang melihat quo keturunan, kekayaan dan sebagainya. Keadaan ini telah memberikan kesan buruk dalam kalangan masyarakat terutama golongan muda.
3.0 PERSOALAN KAJIAN
Persoalan yang ingin pelukis ketengahkan adalah bagaimana antara dua darjat ini memberikan kesan kepada orang lain. Melihat impian mustahil diwujudkan dalam dua darjat yang berbeza kerana pelbagai kesan dan akibat yang bakal menimba kepada mereka. Apakah darjat itu menjadi ukur penentu kebahagian seseorang.

Isu Kajian 2





ISU (SOSIAL- KEMISKINAN)
SEDEKAH SI PENARIK BECA “SAUDAGAR SENJA”
1.0 PENDAHULUAN
            Dulu, kini dan selamanya sering kita mendengar masalah sosial yang melibatkan kemiskinan sering menjadi satu topik hangat yang sering berlaku pada segenap lapisan masyarakat. Kemiskinan yang berlaku kerana ketidakmampuan seseorang untuk memenuhi ruang lingkup kehidupan sehariannya. Tetapi adakah kemiskinan yang terlihat zahir itu menjadi satu garis ukur kepada ruang lingkup seseorang itu atau kemiskinan jiwa yang memiskinkan dirinya sendiri.
            Pengkaji ingin mengetengahkan sedekah si penarik beca yang sebenarnya tersembunyi di sebalik kemiskinan zahir yang sering menjadi topik perbualan masyarakat. Kemiskinan zahir tidak menghalang seseorang untuk memberi mengikut kemampuannya. Hakikatnya sedekah itu tidak melihatkan jiwanya miskin walaupun zahirnya/luarannya dia miskin. Kemiskinan itu menjadikan dia berjiwa besar dan kaya. “Murah hati yang mahal nilainya ialah apabila sanggup menyumbang harta kepada orang yang memerlukan, sedangkan dia sendiri memerlukannya. Berbeza daripada murah hati yang sanggup menyumbang harta sama ada kepada orang yang memerlukan, dalam keadaan dia sendiri tidak memerlukannya”
(Kisah 1)
kisah menarik ini dikatakan kisah benar terjadi di daerah tertentu. Seorang penarik beca yang bernama Pak Kasan mempunyai amalan bersedekah yang unik. Pak Kasan akan memberi perkhidmatan menaiki beca percuma pada setiap hari Jumaat. Pada hari Jumaat seterusnya, si wanita kaya itu menaiki beca Pak Kasan lagi. Kali ini wanita mahu Pak Kasan membawanya ke rumah Pak Kasan. Katanya mahu berkenalan dengan keluarga Pak Kasan. Tanpa prasangka, Pak Kasan pun mengayuh beca ke rumahnya. Sampai di rumah Pak Kasan, wanita itu mendapati Pak Kasan hidup dalam kemiskinan dan memiliki seorang isteri yang solehah dan beberapa orang anak yang baik. Wanita itu berasa malu kerana beliau tidak pernah bersedekah tetapi Pak Kasan yang miskin ini masih mampu bersedekah. Dengan izin Pak Kasan dan keluarga, wanita tersebut mengajak Pak Kasan sekeluarga untuk menunaikan haji bersama keluarganya pada tahun tersebut.

(kisah 2)
Abah singgah solat di sebuah surau.Selesai solat seorang budak menghampiri abah. Sebuah tabung derma dihulurnya. Raut wajah dan gaya pakaian budak itu meyakinkan abah bahawa dia adalah anak yatim yang mewakili sekolahnya memohon sumbangan. Abah menghulurkan derma.
Di suatu sudut beranda surau kelihatan seorang pakcik penarik beca sedang berehat melepaskan penat. 
Budak itu lalu menghampiri pakcik itu dan menghulurkan tabung derma kepadanya. Pakcik penarik beca menyeluk saku seluarnya yang lusuh. Sekeping note berwarna merah sepuluh ringgit dikeluarkan lalu dimasukkan ke dalam tabung derma tersebut.
Budak itu mengucapkan terima kasih seraya berpaling untuk pergi. Tetapi pakcik itu memberi isyarat supaya menunggu. Pakcik menyeluk poket seluarnya yang sebelah lagi. 
Dia mengeluarkan beberapa note kertas berwarna biru dan hijau lalu dimasukkan kesemuanya ke dalam poket baju melayu budak itu. 
“Ini hok mu buat beli makanan.”
Abah kemudian menghampiri pakcik itu, sambil bertanya, “Berapo pendapatan pakcik sehari?” 
Dia berkata, “Tak tentu! Kade-kade ado, kade-kade tak dok.” 
Tanya abah lagi, “Bakpo pakcik sedekah semua duit pakcik kepada budak itu?” 
Jawabnya, “Budak tu anak yatim. Berjalan kaki jauh, lapar. Pakcik tak pe, ada beca, boleh kayuh lagi.” 
Subhanallah... Dia jauh lebih murah hati daripada abah. 
Abah mula berasa sebak. 
“Kalu gitu mari ikut ambo pergi makan.” sambil abah memegang tangannya.
“Hari ni pakcik posa.” jawabnya perlahan. 

(Kisah 3)
“orang yang mati dalam keadaan kaya adalah memalukan.” Namun sebaliknya jika “mati dalam keadaan miskin” itu lebih baik tetapi agak mustahil dilakukan oleh setiap ahli perniagaan. Ini adalah kisah benar seorang penarik beca yang miskin tetapi mampu memberi sumbangan besar kepada rumah anak-anak yatim. Sejak tahun 1986, Bai Fang Li telah bekerja sebagai penarik beca. Dia merasakan anak-anak yatim dan miskin tidak mempunyai duit dan tidak mampu untuk ke sekolah. Sejak dari itu, dia bertekad untuk memberi sumbangan hasil daripada pendapatannya sebagai penarik beca.
            Pada awal musim bunga ketika itu, dia telah menyerahkan sejumlah wang bernilai RM180,540.00 kepada rumah anak-anak yatim yang terdiri daripada 300 orang anak-anak miskin. ketika itu, dia melihat seorang kanak-kanak berusia dalam lingkungan 6 tahun membantu seorang wanita membawa barang-barang dapur yang dibeli dari pasar. Melihat keadaan kanak-kanak itu, dia pun menghulurkan duit kepadanya tetapi apa yang menghairankan ialah kanak-kanak itu tetap mencari sisa-sisa makanan dari tempat pembuangan sampah.
            Bai Fang Li mendekati kanak-kanak itu dan bertanya mengapa mengutip sisa makanan walaupun telah diberikan duit untuk berbelanja. Kanak-kanak itu menjawab, duit tersebut adalah untuk membelikan makanan buat adik-adiknya kerana ibu bapa mereka sudah tiada. Sejak itu, Bai Fang Li akan mengasingkan duit hasil pendapatannya untuk disumbangkan kepada mereka yang memerlukan. Biarpun Bai Fang Li sudah meningkat usia, dia tetap meneruskan pekerjaannya sebagai penarik beca walaupun hasil pendapatan yang tidak seberapa. Tetapi tiada siapa menyangka rupa-rupanya dia telah memberi sumbangan berjumlah RM210,630.00 kepada rumah anak-anak yatim sekitar tahun 1994-1998.Tindakan mulia Bai Fang Li sangat disenangi oleh ramai orang dan apabila dia meninggal dunia pada tahun 2005, pereka arca membina patungnya sebagai tanda peringatan di Tianjing Recreation Park.
2.0 ISU KAJIAN
Kemiskinan yang digambarkan oleh masyarakat pada era kini hanya melihat kemiskinan pada zahir. Kemiskinan hanya terlihat pada pandangan mata tetapi tidak sebaliknya. Kemiskinan dan kekayaan sering menjadi aras ukur kehidupan seseorang yang berjaya dan gagal dalam hidup. Masyarakat terus memandang dengan mata kasar bukan pada mata hati sehingga mereka tidak sedar kemiskinan itu bukan hanya kekayaan yang dimilikinya sekiranya kemiskinan jiwa itulah yang menjadikan dirinya miskin. Pengkaji mengetengahkan gambaran seorang yang diselubungi kemiskinan mempunyai jiwa yang kaya dalam memberi sedekah/bantuan kepada orang lain yang lebih memerlukan.
3.0 PERSOALAN KAJIAN
Persoalan yang pengkaji ketengahkan adakah kemiskinan itu menghalang seseorang untuk memberi bantuan/sedekah lantaran dirinya yang serba miskin. Persoalan yang timbul lagi, mengapakah seorang yang dilihat sudah berada dalam kemiskinan masih mempunyai sifat ingin membantu orang lain yang lebih memerlukan sedangkan dirinya juga memerlukan bantuan. Akhir sekali, apakah kemiskinan itu mendidik seseorang berjiwa besar dalam memberi.

Isu Idea Kajian 1




ISU 1 (KEBUDAYAAN)
SENI TARIAN KUDA KEPANG MASYARAKAT JAWA DIMALAYSIA
1.0 PENDAHULUAN
            Jika masyarakat Cina terkenal dengan Tarian Naga, masyarakat Jawa di Malaysia pula terkenal dengan Seni Tarian Kuda Kepang. Tarian Kuda Kepang adalah suatu tarian tradisional yang dibawa oleh masyarakat Jawa Indonesia ketika berhijrah ke Tanah Melayu. Kuda Kepang merupakan patung berupa kuda tanpa kaki yang diperbuat daripada anyaman buluh atau kulit binatang. Kemudian anyaman berbentuk kuda itu diwarnakan atau di balut dengan kain batik agar kelihatan lebih cantik dan menarik. Di Indonesia , yang menjadi negara asal Kuda Kepang, pada kebiasaannya Tarian Kuda Kepang ini dipersembahkan di majlis-majlis keraian dan menerima tetamu serta majlis perkahwinan.
            Di dalam persembahan Tarian Kuda Kepang, gerak langkah penari akan diiringi dengan alunan alat muzik serta lagu tertentu. Setiap penari akan menunggang kuda anyamannya sambal menari-nari. Pada awalnya, rentak tarian adalah agak perlahan tetapi semakin lama semakin agresif dengan lagak seperti kuda. Sehingga tiba di satu peringkat beberapa -penari seolah-olah hilang ingatan dan mampu melakukan aksi di luar jangkaan seperti melompat setinggi enam kaki, melompat di atas kaca , memakan rumput serta mengoyak kelapa dengan gigi.
            Tarian yang berasal dari Tanah Jawa , Indonesia ini , masih lagi dimainkan oleh masyarakat Jawa di Malaysia khususnya di negeri Johor sama ada untuk persembahan kesenian dan pelancongan ,malah di majlis-majlis perkahwinan. Namun begitu ada beberapa tempat lain seperti di Selangor juga bergiat aktif di dalam persembahan Kuda Kepang ini. Ini adalah kerana di Selangor juga memiliki ramai rakyat yang berketurunan Jawa. Tarian Kuda Kepang ini sememangnya diakui sebagai salah satu seni warisan masyarakat Jawa yang bernilai tinggi. Akan tetapi, dengan wujudnya unsur-unsur khurafat dan syirik yang sering dilihat memberi kesan dari sudut aqidah, syariat dan akhlak maka Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia telah mengharamkan kegiatan Tarian Kuda Kepang ini dari terus dimainkan.

2.0 ISU KAJIAN
Perkembangan dunia serba kini dengan teknologi moden secara halus telah membunuh tradisi sesebuah masyarakat terutamanya budaya seni tarian kuda kepang. Penghasilan teknologi baru seperti gaming, permainan elektronik dan robotik kian bertapak di dalam jiwa generasi baru pada masa kini dari kesenian budaya masa dahulu. Golongan muda tidak lagi berminat untuk menjaga dan memelihara tradisi masa lalu kerana ia dikatakan tidak bersesuaian pada era zaman moden kini. Hanya golongan tua yang masih memelihara budaya tradisi mereka yang kian dilupakan. Selain itu, Seni budaya tarian kuda kepang  semakin hilang keseniannya dalam era moden . Penggunaan teknologi dalam penghasilan sesuatu produk telah menarik golongan muda berbanding tradisi lama yang masih mengekalkan penggunaan bahan semula jadi. Akhir sekali, budaya tradisi masyarakat jawa golongan tua ini  kian dilupakan oleh golongan muda. Golongan muda telah banyak berpindah menetap di bandar-bandar dengan kehidupan yang serba moden. Mereka tidak lagi mempedulikan tradisi tarian kuda kepang yang hanya dipersembahkan dalam kalangan golongan tua malahan tidak berminat untuk meneruskan tradisi tersebut yang semakin lama akan mati.
3.0 PERSOALAN KAJIAN
Persoalan yang pengkaji ketengahkan adalah mengapa tarian kuda kepang yang masih berjiwa dalam golongan tua walaupun golongan muda sudah kian melupakan tradisi tersebut. Pengkaji juga mempersoalkan mengapa golongan muda merasakan tradisi ini tidak lagi bersesuaian dengan zaman mereka yang serba moden. Akhir sekali, pengkaji cuba mempersoalkan adakah kesenian tarian kuda kepang ini adalah jiwa budaya masyarakat jawa yang  menggambarkan identiti mereka yang mempunyai nilai atau keunikan tertentu.

Proses Melukis






Saudagar Senja




TAJUK KARYA
“SAUDAGAR SENJA”

SINOPSIS
Si penarik beca atau “saudagar senja” berkisar tentang keupayaan seorang warga emas mencari punca rezeki pada usia tua amat mengagumkan meskipun perlu melalui liku kehidupan mencabar dalam meneruskan kelangsungan hidup.

“Tidak menunjukkan keluh
Tidak menyatakan kesah
Walau lara acap mencucuk hati
Tidak pernah ku undur diri
Aku terus melangkah
melayari tabir kehidupan ini”

SAIZ
4’x5’

MEDIA
PENCIL, CHARCOAL DAN SOFTPASTEL